“ Seberapa yakin kau pada Tuhanmu ?”



Perihal Hidup,Ujian dan Rasa

          Mereka kata, hidup ini suatu perjalanan.Perjalanan daripada Tuhan menuju kembali kepada Tuhan . Perjalanan mencari erti hidup yang punya erti. Erti yang membina diri. Bukan sekadar makan,minum,hidup dan mati. Bukan sekadar diri sendiri, tetapi diri seorang muslim sejati. Tetapi satu perkara yang perlu kau sedari, dalam mencari erti hidup sebagai seorang muslim itu bukan sekadar mudahnya saat lafaz alif ba ta atau semudah bilangan satu dua tiga. Tetapi perjalanan yang punyai erti itu perlu dibayar agar kau dapat belajar apabila kau telah rasa.

          Saat kau terduduk selepas terngadah, terdiam , terpaku kerna ujianNya, saat itu tanya pada jiwa, apakah benar diri dibaluti cinta dan yakin padaNya? Ya aku tidak tahu apa yang kau rasa. Ya aku tidak berdiri pada tempat yang kau ada. Tetapi, tahukah engkau yang aku juga punya cerita? Dan boleh jadi , aku yang lebih menanggung rasa. Saat ini sekadar untuk buat kau sedar, yang kau dan aku diuji kerna kita berTuhankan Dia.

Allah berfirman dalam hadith qudsi :
“ Jika Allah mencintai seorang hamba, maka Dia akan mengujinya . Jika ia sabar maka Dia akan menghindarkannya jika ia rela, maka Dia akan memilihnya “
 (Kitab Mukashafah Al Qulub, karangan Imam Ghazali )


Perihal Lara.Sabar.Tabah.

          Saat jiwa terhimpit dek tuntutan dunia. Saat diri terseksa dek kesakitan penyakit daripadaNya. Saat hati terluka dek dikecewakan oleh hambaNya. Saat iman tergoyah dek ujian daripadaNya. Saat itu kau katakanlah, “ Dan Allah berserta dengan orang-orang yang sabar “ [Al Baqarah ; 249]. Allah, Tuhan mu Yang Maha Agung telah menjanjikan yang Dia akan bersama kau, andai kau memilih untuk bersabar. Lalu,nikmat mana yang lebih hebat untuk kau perolehi selain nikmat bersama Tuhanmu di dunia bahkan di akhirat sana?

          Lalu duhai hati-hati yang sedang lara, bangkitkanlah kembali mencari redha Tuhanmu. Tuhan yang menghidup dan mematikanmu. Tuhan yang menjaga malam dan siangmu. Tuhan yang merindukan tangis rintihanmu. Dia tidak pernah zalim akan dirimu. Bahkan kita hambaNya yang sentiasa berlaku zalim pada diri sendiri. Semua ingin mati dalam keadaan mendapat redhaNya. Tetapi berapa ramaikah yang ingin menjalani hidup dalam keadaan redha akan ketentuan Tuhannya?

“ Kadang-kadang, tanda cinta Allah terhadap seseorang itu Allah akan biarkan hati dia hancur berkali-kali sampai dia merasakan tiada lagi harapan di dunia ini. Dan hanya dengan itu akan membuatkan dia punyai harapan hanya pada Allah sahaja “
-         Sheikh Abdul Qadir Jailani –




Perihal Dunia.Akhirat.Hakiki.
Bersyair si penyair Ibnu Hisam;
“ Herdiklah dunia dan hari-harinya.
Ia hanyalah membawa duka.
Kehausannya tidak pernah terpenuhi.
Terus sahaja ingin memiliki.
Sungguh menghairankan.
Ia musuh tetapi dirindui ”

Ya, hidup perlu dirasa, agar kau lebih terjaga. Manusia, fitrahnya sudah terhantuk baru terngadah. Lalu saat Dia kirimkan kiriman untuk buat kau terngadah, kau bingkas melatah, mengatakan mengapa kau dibiarkan begitu sahaja. Sedangkan saat lafaz shahadah kau ungkapkan, kau petah mengakui akan kecilnya dikau sebagai seorang hamba, dan Dia lah Rabbi Yang Maha Esa dan Maha Bijaksana.
“ Sesuatu yang ada di sisimu akan habis dan apa-apa yang ada di sisi Allah akan kekal. Demi, nanti akan Kami balasi orang-orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka amalkan ”
-         Al Nahl, 96 –

Lalu aku bertanya,

Seberapa yakinkah dikau akan janji TUHANmu yang satu?

Comments

Popular posts from this blog

the craziest gurl that had own my heart..

.jika benar cinta.

dan kerana Tuhanmu,bersabarlah..